IPOH: Selain membantu memadamkan kebakaran dan operasi mencari dan menyelamat, anggota bomba turut melaksanakan pelbagai khidmat masyarakat.

Bukan hanya menyelamatkan nyawa manusia, anggota bomba juga sering dipanggil untuk membantu haiwan yang terperangkap.

Antaranya yang berlaku di Taman Botani, di sini, hari ini, apabila pihak bomba memberi khidmat khas menyelamatkan seekor anak kucing yang terjatuh ke dalam longkang besar di tepi jalan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.47 pagi.

“Pasukan bomba menggunakan tangga untuk membawa naik anak kucing itu sebelum diserahkan kepada pemilik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Shahrizal Khasim dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai tamat jam 9.15 pagi.